News
Teknologi 5G Berupaya Pacu Kemajuan Negara
Date : 16th November 2019
Read On: Berita Harian

JASIN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjangka ‘roll out’ teknologi 5G dapat dilaksanakan menjelang pertengahan tahun depan di beberapa kawasan, terutama membabitkan sektor industri yang memerlukan perkhidmatan teknologi berimpak tinggi itu.

Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata kementeriannya sedang menunggu laporan lengkap berhubung penggunaan teknologi itu itu sebelum ia dikemukakan kepada Kabinet bagi mengkaji keberkesanan penggunaannya pada masa depan.

“Kita memulakan projek perintis 5G pada Mei lalu, dengan laporan awalnya sudah dikemukakan. Bagaimanapun, kita sedang menunggu laporan lengkap untuk dikemukakan kepada Kabinet bagi penggunaan teknologi berkenaan.

“Kita juga memerlukan satu dasar nasional bagaimana untuk melancarkan perkhidmatan teknologi 5G. Buat masa ini, ‘roll out’ teknologi 5G akan dilaksanakan di sesetengah kawasan, terutama membabitkan sektor industri yang memerlukan perkhidmatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Rumah Digital Anjung Gapam, Bemban, di sini hari ini yang dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Hadir sama Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), Rosli Man; Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar dan Pengarah Urusan Bintang Urusjuta (M) Sdn Bhd, Yeow Ho Lock.

Sementara itu, Gobind berkata, pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) adalah umpama membina lebuh raya digital yang memacu pembangunan serta kemakmuran ekonomi kepada semua rakyat, termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Beliau berkata, kerajaan turut menjangkakan dalam tempoh lima tahun ke hadapan, 90 peratus kawasan di seluruh negara dijangka mempunyai akses sambungan internet berkelajuan tinggi, sekali gus menepati Pelan Strategik NFCP.

“Teknologi pada masa depan bergantung kepada pelan strategik NFCP. Sebab itu, salah satu penekanan NFCP untuk memastikan pembangunan baharu pada masa depan, termasuk perumahan, memberi tumpuan kepada sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Di Parlime, memang sudah nyatakan kalau boleh di peringkat pusat, kita hendak keluarkan undang-undang yang mewajibkan semua rumah baharu mempunyai sistem jalur lebar sebelum diberi kelulusan. Akses internet kini sepenting kemudahan air dan elektrik,” katanya.

Pada majlis yang sama, TM ONE dan Bintang Urusjuta (M) Sdn Bhd, pemaju rumah Taman Anjung Gapam turut menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi pelantikan TM ONE sebagai rakan strategik untuk pelaksanaan rumah digital di Taman Anjung Gapam.

Ia sekali gus menjadikannya projek perumahan pertama di negeri ini yang akan menikmati pengalaman rumah digital melalui sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Sementara itu, Adly dalam ucapannya, berkata kerajaan negeri sedang mempergiat usaha menambah baik rangkaian komunikasi dan infrastruktur yang mantap melalui penyediaan rangkaian gentian optik menyeluruh di seluruh negeri.

“Saya percaya, TM sebagai penggerak Malaysia Digital dengan infrastruktur rangkaian dan penyelesaian digital yang mantap, boleh membantu hasrat kerajaan negeri melonjakkan Melaka khasnya dan Malaysia amnya seiring dengan ledakan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0),” katanya.



GET IN TOUCH WITH US
Copyright © 2020 GJH Holdings Sdn. Bhd. All Right Reserved.
Copyright © 2024 GJH Holdings Sdn. Bhd. All Right Reserved.
Powered by 8verstudio - Creative Digital Agency.
Copyright © 2020 GJH Holdings Sdn. Bhd. All Right Reserved. Powered by 8verstudio - Creative Digital Agency.
Copyright © 2024 GJH Holdings Sdn. Bhd. All Right Reserved. Powered by 8verstudio – Creative Digital Agency.